Dunia Baru


Hari ini baru kesempatan untuk menulis laman ini disebabkan agak sibuk sedikit tentang tugasan harian dan program terkini. Apa pun untuk post kali ini ianya berkisar tentang kehidupan seorang bayi yang kini melihat dunia baru setelah 9 bulan sentiasa bersama ibunya selama mana ia dalam kandungan. Kelahiran cahaya mata sebersih kain putih menandakan bermulanya tanggungjawab kita membina watak dan apabila besar kelak bermula peranan guru sebagai pendidik untuk membina otak kanak-kanak tersebut.
Anak-anak adalah amanah Allah dan seharusnya kita wajib untuk mendidik mereka sejak dari azali lagi agar menjadi seorang yang berguna sebagai pemimpin yang memimpin generasi manusia segajat. Apabila kelahiran mereka ke dunia ini maka jadikan diri kita sebagai penghibur untuk mereka, memberikan belaian dan sokongan untuk mereka. Mereka beranggapan dunia baru ini satu keajaiban yang penuh dengan keseronokan untuk memberikan mereka satu kepuasan dalam menjalani siang dan malam yang tidak pernah mereka alami sebelum ini.
Anak-anak ibarat kain putih, mempunyai hati yang bersih dan belum pernah digores walau setajam pisau cukur. Hubungan kita dengan anak-anak tidak ada penghalangnya malah ia terus merasainya tanpa halangan, apa yang diterimanya itulah yang dialaminya hingga keintiman naluri amat terasa seolah-olah satu tarikan magnet yang begitu mempersonakan. Mendidik anak-anak apabila meningkat dewasa adalah satu pahala kesejateraan di dunia dan akhirat, berilah kasih sayang dan berkawanlah dengan kanak-kanak kita selagi mampu sebab mereka jugalah yang akan menjadi tunjang kepada kepimpinan masa depan generasi zaman berzaman.
Bersamalah membina impian untuk mereka, jauhilah mereka dari api neraka, didiklah mereka dengan iman sejati, latihlah mereka dengan akhlak yang mulia dan jauhilah mereka dari kesibukan hiburan yang tentunya merosakkan jiwa dan minda. Amalkan pemakanan yang sihat kerana dari pemakanan pembentukan minda dan watak sentiasa seiring dan sejalan. Bukan mudah mendidik minda, bukan senang mengubah otak inikan pula membina watak. Amalan dan corak kehidupan kita amat memainkan peranan yang penting dalam membentuk anak-anak dari mula mengenali dunia hinggalah semua yang mereka rasai lenyap dari pandangan.
“Mendahulukan dunia dan melenyapkan Syurga, maka jatuhlah mereka ke dunia yang penuh dengan pembalasan, jagalah mereka dan jaga tingkah laku agar tidak disimbah kepahitan,jagalah mereka dengan akal yang tinggi agar keegoaan tidak menjelma. Jaga diri jaga perwatakan, ilmu ditambah iman dipupuk semoga hati bersih sentiasa bersama. Amin..